Faham tapi tak mengerti

Hidup ini perlu saling memahami… itulah yang sering didengar, sering diucapkan namun kadangkala sukar untuk dilaksanakan. Jika kata-kata tersebut berjaya kita laksanakan maka tiadalah peperangan, tiadalah perselisihan faham, dendam dan benci. Dunia kini semakin kepanasan bukan hanya cuaca yang panas tetapi emosi penghuninya juga turut berada di darjah kepanasan yang tinggi. Kita, penghuni bumi sebenarnya faham yang kitalah yang merosakkan keamanan bumi, yang mencetuskan tingkatan kepanasan global tetapi kita tidak mengerti apakah ertinya semua itu. Justeru itu kita tidak mampu berhenti dari merosakkan bumi ini kerana kita tidak mengerti apakah yang bakal berlaku kelak biarpun kita memahaminya. Hal yang sama tanpa kita sedar berlaku dalam kehidupan kita, kehidupan kita dalam masyarakat dan kehidupan berpasangan.
Saya berpandangan hal ini terjadi kerana kita mungkin kurang mengupas tafsiran perkataan yang kita gunakan sejak sekian lama. Pada saya, pandai dan faham itu berbeza manakala faham dan erti itu juga berbeza. Maka jika dimudahkan, pandai, faham dan erti itu kelihatannya seperti sama namun tafsirannya berbeza… sama tapi tidak serupa. Justeru itu acapkali terjadi kita mengucapkan sesuatu yang kita sendiri tidak memahami apakah yang dmaksudkan olehnya. Maka ianya tidak mampu mengubah persepsi yang kita cipta atau ianya mungkin mencipta satu persepsi baru tetapi bercanggahan dengan hakikat sebenarnya. Orang yang pandai tidak semesti seseorang yang memahami. Ini kerana orang yang pandai hanya dapat mengetahui akan duduk perkara sesuatu itu seadanya. Contohnya, orang yang pandai dalam pelajaran dapat menjawab soalan yang diberi berdasarkan jawapan yang diketahuinya. Ini sedikit berbeza dengan orang yang faham kerana orang yang faham pula menjawab soalan dengan kefahaman yang dia perolehi dari setiap ilmu pengetahuan. Seorang yang pandai hanya menjawab apa yang dibacanya tetapi seorang yang faham mampu mengupas lebih dari apa yang dibacanya.
Begitu juga perbezaan antara faham dan erti yang kelihatannya sama namun banyak perbezaannya. Orang yang memahami dapat mengupas dengan baik sesuatu pengetahuan manakala orang yang mengerti pula dapat memahaminya dengan perasaan. Kita mungkin memahami mengapa kita perlu makan tetapi kita mungkin kurang mengerti rasa makanan. Orang yang mengerti pula bukan sahaja memahami perihal makanan tetapi dia dapat merasainya. Begitu juga dalam kehidupan… kita mungkin merasakan yang kita memahami seseorang itu tetapi kita kurang mengerti. Kita mungkin memahami pasangan kita tetapi kita kurang mengerti akan perasaannya. Memahami sahaja sebenarnya belum mencukupi bagi sesebuah perhubungan kerana setiap perhubungan juga memerlukan pengertian. Setiap hubungan memerlukan kesefahaman yakni peraturan duniawinya tetapi jika hanya itu yang kita ada maka hubungan itu akan sedikit pincang. Kepincangan ini wujud kerana kurangnya pengertian. Pengertian adalah sesuatu yang melibatkan perasaan. Maka bukanlah satu pengertian jika ianya tidak melibatkan perasaan atau rasa. Kita mungkin faham akan kesakitan seseorang tetapi kita akan lebih bagus dalam memahaminya seandainya kita mengerti dan pengertian hanya akan berlaku apabila kita sudah pun melaluinya dan sudah merasainya.

Kesalahfahaman dalam perhubungan akan berlaku apabila kita merasakan yang kita sudah memahami walaupun hakikatnya belum sepenuhnya. Ianya akan membawa kepada salah sangka dan lebih buruk lagi kepada fitnah yang mana menyebabkan kekeruhan yang berlaku menjadi lebih buruk lagi. Pemahaman yang kita ada sebenarnya hanyalah satu persepsi yang kita buat melalui satu andaian yang terhasil dari sebuah peta realiti. Kita perlu tahu bahawa peta reality yang kita lihat itu masih bukan reality yang sebenar. Kita melihat peta realiti tanpa mengalaminya dan andaian yang kita perolehi adakalanya begitu jauh berbeza dengan realiti sebenarnya. Inilah juga yang sering berlaku dalam banyak hubungan. Kita seringkali bergantung dengan peta realiti dan kita salurkan ke dalam minda melalui pancaindera yang lima tanpa mahu mengerti akan realiti sebenar. Hasil yang buruk yang bakal berlaku adalah andaian yang salah dan andaian yang salah bakal menghasilkan tuduhan demi tuduhan dan ini lambat laun menjadikan hubungan tersebut sebagai satu hubungan yang membosankan.

Mulai hari ini marilah kita sama-sama menilai kefahaman kita dalam mengolah pengertian yang kita rasakan benar. Kita perlu melihat kembali adakah kita benar-benar memahami dan mengerti tentang pasangan kita atau kita sebenarnya hanya memahami namun tidak mengerti. Seandainya itu yang berlaku, semak kembali hubungan yang sedia ada, adakah ianya sudah memberi tekanan kepada pasangan anda atau anda sendiri yang sudah terbeban dengan pelbagai andaian dan prasangka. Justeru untuk mengeluarkan diri dari belenggu andaian dan prasangka ini adalah dengan meletakkan hubungan itu atas rasa cinta Allah swt maka insya Allah kita akan lebih aman dan menerima segalanya dengan hati yang terbuka tanpa sangka buruk dan prejudis. Wallahu a’lam.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s