Stop Tarzaning!!!…

This gallery contains 1 photo.

Kali ini kita berkongsi cerita tentang tarzan.  Sewaktu kecil cerita tarzan ini hanya berkisar tentang kehidupan seorang lelaki dan rakan-rakan haiwannya tetapi apabila zaman semakin moden maka ceritanya sudah mula dibawa dalam kehidupan tarzan ini di bandar.  Tarzan, jika dilihat … Continue reading

Gallery | Leave a comment

Mencari Modal Awal Business

This gallery contains 1 photo.

Hari ini pandangan masyarakat kita terhadap perniagaan sudah mula berubah dari seketika dulu menganggap perniagaan satu hal yang cukup berat untuk dilaksanakan kepada kini, satu bidang yang ingin diceburi oleh ramai diantara kita.  Dulu amat payah untuk kita melihat orang … Continue reading

Gallery | Leave a comment

Kebencian itu satu penawar

Dalam keadaan jalanraya yang sesak, mendengar radio mungkin menjadi satu sumber yang dapat menghilangkan kebosanan memandu.  Kebetulan sekali, lagu yang diputar oleh sebuah stesen retro cukup kena dengan apa yang ingin saya kongsikan hari ini.  Lagu lama dendangan Diana Nasution satu ketika dahulu cukup menjadi wadah untuk mereka yang sedang bercinta untuk saling merindui.  Kata Diana dalam lagunya “sakitnya hati ini namun aku rindu… bencinya hati ini tapi aku rindu.”

Kita hidup sebagai manusia pastinya tidak akan lari dari mempunyai perasaan benci.  Benci bukan semestinya kepada insan sahaja tetapi boleh jadi kepada perkara-perkara yang kita rasakan cukup membebankan.  Kita boleh jadi benci dengan kerja yang sedang kita lakukan namun kita masih melakukannya atas dasar keterpaksaan.  Saya menerima satu pesanan ringkas untuk tazkirah yang berbunyi ::“boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah : 216)

Kita seringkali melihat kebencian itu dari sudut negatif tanpa kita menyedari bahawa kebencian juga dapat membawa kita ke satu sudut yang cukup positif asalkan kita tahu caranya.  Kebencian menjadi perkara yang menjelekkan kerana kita yang menciptanya sebagai menjelekkan.  Secara jujurnya saya melihat kebencian juga merupakan penawar kepada jiwa seandainya kita tahu mengolahkannya.  Katakan kita membenci seseorang hinggakan kita tidak mampu mendengar namanya.  Apabila disebut sahaja namanya maka terbitlah rasa benci yang amat sangat hingga kita menjadi begitu beremosi.  Jika kita terus menerus melayan kebencian sepertimana ianya mahu dilayan maka pastilah ianya akan membawa kepada kerosakan.  Sedangkan kebencian itu datang sebagai satu wadah pemberitahuan bagaimana ianya harus diperlakukan agar nilai kebencian itu menjadi satu nilai kecintaan. 

Apabila kita membenci seseorang itu tanpa sedar sebenarnya Allah swt sedang melatih kita untuk mendalami rasa yang perlu kita singkirkan dalam hidup agar kita mampu hidup sesame insan dengan penuh kasih dan sayang.  Kita acapkali membenci seseorang itu kerana dirinya.  Kita jarang sekali membenci seseorang itu kerana Allah swt.  Nah… mungkin ada yang bertanya bagaimana mungkin kita membencinya kerana Allah swt.  Ianya adalah dengan membenci sikap yang dipanuti dan bukan diri seseorang itu.  Kita benci sikapnya dan dek kerana benci sikapnya itu maka kita terus berdoa kepada Allah swt agar dia diberikan pencerahan dan hidayah.  Kita tak putus-putus mendoakan perubahannya.  Manakala kebencian itu tidak langsung dimanifestasikan dengan perbuatan mahupun kata-kata yang kurang enak. 

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ad-Dailami yang mafhumnya barangsiapa mengutamakan kecintaan Allah atas kecintaan manusia maka Allah akan melindunginya dari beban gangguan manusia.  Ini cukup jelas menunujukkan bahawa yang perlu dalam kehidupan kita adalah kecintaan.  Pada satu sudut pula, kita tidak akan mengenal rasa cinta yang benar tanpa mengetahui apa ertinya benci.  Maka fahamilah bahawa apabila kita ada rasa benci maka ianya juga adalah penawar cinta yang bakal datang… cinta yang lebih dalam… cinta yang lebih kita fahami keberadaannya. 

Cinta yang dalam terhasil dari putik cinta yang kecil dan kemudiannya dikembangkan hingga apabila sudah menjadi tahap matangnya, ianya lebih indah dari apa yang disangkakan.  Buktinya mudah, ramai juga diantara kita yang apabila datang kebencian terhadap sesuatu perkara lalu dia terus mengingati Allah swt.  Solat yang dahulunya terabai kita terjaga.  Doa yang dahulunya ala kadar kita penuh perasaan.  Maka dia sebenarnya sedang dijaga oleh Allah swt dari bebanan seandainya dia melepaskan semuanya kembali kepada Allah swt tanpa sedikit pun keluhan.  Jika dia benar-benar faham maka dia akan lebih banyak berterima kasih kepada rasa benci itu kerana sudah berjaya menukarkannya menjadi insan yang lebih bergantung kepada Allah swt. 

Al Hakim meriwayatkan sebuah hadis yang berbunyi “Siapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah hendaklah dia mengamati bagaimana kedudukan Allah dalam dirinya. Sesungguhnya Allah menempatkan hambaNya dalam kedudukan sebagaimana dia menempatkan kedudukan Allah pada dirinya.”  Seandainya kita sentiasa bersama Allah swt dan hati ini tidak lari dari benar-benar mencintaiNya semata maka Allah swt pastinya akan menyayangi kita.  Apabila kita bersandar kepadaNya maka jangan pula kita meminta supaya ada balasan kepada mereka yang kita benci kerana balasan itu ada lambang ketidakikhlasan kita dengan Allah swt.  Janganlah kita berkata nista dan menyumpah seranah sedang kita sebenarnya sedang disayangi Allah swt.  Kita hanya perlu duduk bersamaNya dan menerima pemberian rasa itu dengan kenikmatan kerana dalam kebencian itu ada banyak penawar bagi mereka yang berani mengupasnya dari sudut yang lain. 

Layanlah kebencian itu dengan Allah swt kerana kebencian itu akan akan mengikut kita mencintai Allah swt.  Hindarilah diri kita dari mengikut kebencian kerana jalan akhirnya adalah kemusnahan.  Kebencian itu datang kepada kita supaya kita mendidiknya pulang kepada Allah swt dan ia tidak pernah datang mengharapkan kita mengikutinya.  Semoga Allah swt merahmati kita dalam menjalani litar kehidupan ini.  Amiin.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Bila Jiwa Kacau

Hidup ini penuh suka dan duka, penuh dengan watak yang mewarnai laluan perjalanannya.  Kita pasti selalu mengharap agar perjalanan yang kita lalui sentiasa ceria tanpa duka tanpa menyedari jika itu yang berlaku, kita sebenarnya bakal menjadi manusia yang tidak punya pengalaman dan penuh dengan kebosanan.  Kita sering berharap supaya kita bahagia namun kita lupa kekecewaan dan kebahagian itu bukan terletak di luar diri.  Ianya datang bersumber dari dalam diri kita sendiri.  Kitalah yang sebenarnya memilih keadaan diri samada duduk dalam erti kebahagian sebenar ataupun sebaliknya.  Hal ini jarang sekali kita peduli kerana bagi kita kebahagian itu sebenarnya datang dari keadaan luaran dan keadaan luaran adalah penentu utama kebahagian.

Jika kita seorang yang bahagia secara dalaman maka kita tidak akan peduli bagaimanakah keadaan luaran kita, biarpun buruk atau pun tidak.  Kita melihat segala sesuatu dengan persepsi yang positif.  Kita tidak merasakan sesuatu masalah itu sebagai bebanan tetapi melihatnya sebagai satu maklumbalas yang kita terima yang memerlukan pembetulan atau pencorakkan semula.  Mereka yang bahagia secara dalaman sentiasa mempunyai tidur yang lena, sentiasa segar dan mempunyai semangat yang tinggi untuk hidup.  Mereka pasti akan hidup penuh dengan kasih sayang.  Kasih sayang ini bukan sahaja untuk sesama manusia tetapi ianya juga untuk makhluk keseluruhan.  Itulah faktor yang ada pada generasi datuk dan nenek kita.  Biarpun kelihatan kurang berharta tetapi mereka cukup bahagia.  Keadaan ini jelas kelihatan dari tuturkata mereka dalam perbualan dan perlakuan mereka sesama makhluk.  Justeru mereka gemar untuk memelihara binatang dan mereka hidup penuh dengan kesopanan, kelembutan dan kasih sayang. 

Hari ini ramai diantara kita yang tidak bahagia secara dalaman.  Mereka hidup penuh dengan kebencian dan paling memualkan adalah persepsi negatif yang mereka ada dalam melihat kehidupan.  Mereka sentiasa mempunyai sangka buruk dan memikirkan kejadian yang buruk lebih dari melihat kebaikan sesuatu peristiwa.  Mereka ini cukup meletihkan kerana mereka sentiasa mahu bahagia tetapi tidak pernah faham apa itu kebahagian.  Mereka berpendapat kebahagian itu perlu datang dari luar.  Orang bijak pernah berkata “ jika kamu tidak menjumpai kebahagaian dalam diri kamu … janganlah kamu mencarinya di luar kerana pasti tidak akan bertemu.”  Bagi orang sebegini saya mengkategorikannya sebagai mereka yang berada dalam jiwa yang kacau.  Jiwa kacau ini menyebabkan mereka suka benar membuat tanggapan tanpa diminta dan lebih buruk pula, tanggapan itu hampir semuanya negatif.  Mereka akan lebih melihat keburukan dan hampir tiada kebaikan.  Merekalah penyebab hilangnya kebahagian.  Kebahagian datang dari dalam diri sendiri dan jika diri mereka penuh dengan kebencian dan negativiti maka secara hukum alam mana mungkin mereka akan bahagia. 

Mereka sering berkata yang jika sesuatu keadaan berlaku barulah mereka akan bahagia atau jika mereka pergi ke satu-satu tempat barulah mereka akan bahagia.  Sebenarnya ke mana sahaja mereka pergi, biar apa keadaan sekalipun mereka tidak akan bahagia dan mereka akan melihat keadaan yang mereka katakan itu kelak sebagai keadaan negatif.  Ada satu perkara yang mungkin perlu untuk kita lihat dengan penuh perhatian iaitu sangka buruk mereka itu dapat membuatkan suasan harmoni menjadi negatif.  Mereka lupa bahawa sangka buruk mereka itu adalah satu doa yang mungkin boleh terjadi satu hari nanti.  Bukankah lebih baik jika mereka melihat sesuatu itu secara positif kerana sangka baik itu juga merupakan satu doa.  Jika buruk sangkaannya maka dia akan selalu memikirkan yang buruk dan akhirnya mereka melepaskan emosi mereka kepada mereka yang positif.  Mereka mungkin tidak tahu atau tidak perasan yang perbuatan mereka itu menyebabkan kebahagian yang dibina bakal luntur akibat energi negatif yang disalurkan.  Mereka menyebabkan tekanan luar biasa bukan sahaja kepada diri mereka tetapi kepada orang yang berada disekeliling mereka.  Akhirnya mereka akan kehilangan teman dan taulan dan itu lebih membuat mereka lebih negatif.  Mereka mula mendendami keadaan itu namun tidak pula mengakuinya melainkan meletakan kesalahan itu pada orang sekeliling. 

Jiwa kacau satu penyakit yang perlu diubati dan untuk mengubatinya secara efektif, mereka yang mengalaminya perlu secara sukarela untuk berubah.  Langkah pertama, mereka perlu membersihkan diri dari segala sangka buruk.  Mereka perlu tahu sangka buruk itu dilarang baginda saw.  Keduanya, mereka perlu membuang segala peristiwa negatif yang tersemat dalam memori mereka.  Seterusnya mereka perlu bergaul dengan mereka yang positif untuk jangkamasa sekurang-kurangnya enam bulan.  Mereka boleh menyertai persatuan atau membuat kebajikan secara berterusan.  Ingatlah jiwa yang kacau bukan sahaja membunuh jiwa mereka tetapi bakal menyebabkan mereka kehilangan orang yang kononnya mereka cintai dan sayangi.  Hiduplah dalam persepsi positif dan berkasih sayang dengan Allah swt menyebabkan kita lebih positif dan tenang kerana Allah swt tahu segalanya dan serahkan kehidupan kita kepada Allah swt dan bukan kepada serakah jiwa. Wallahu a’lam

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Kepimpinan BerTuhan

 

Sejak memperkenalkan program spiritual leadership, ramai yang bertanya apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan spiritual.  Mungkin kita sering mendengar tentang perkataan spiritual namun kita mungkin juga tersilap kira tentang pengertiannya.  Ada diantaranya yang menggambarkan tentang beberapa bacaan yang perlu dibaca lalu ianya dipanggil spiritual.  Ada juga terlintas di benak minda mereka beberapa ritual yang perlu diamalkan dan itu pada pandangan mereka adalah spiritual.  Spiritualiti adalah satu kepercayaan yang mendalam yang berkait dengan perasaan berhubungan dengan hal-hal ketuhanan, keyakinan, pengharapan serta perbuatan yang sama arah tuju tetapi bersifat multidimensi.  Ianya memberi satu momentum energy yang cukup kuat dalam menterjemahkan idea ke bentuk perbuatan.  Ini kerana mereka yang benar-benar memahami erti spiritualiti pasti akan menjumpai erti kehidupan sebenar dan tujuan hidup yang menjadi landasan untuk hidup.  Hasilnya mereka mempunyai daya tahan yang kuat dalam mengharungi liku kehidupan yang mencabar. 

Berbeza dengan apa yang dipanggil mistik.  Mistik merupakan sesuatu yang boleh dikta katakan dengan bahasa mudahnya ghaib.  Mistik amat berkait rapat dengan mantra dan seumpamanya manakala spiritual pula merupakan keterikatan seseorang itu dengan Maha Pencipta.  Mungkin kupasan di atas sudah mencukupi untuk kita lebih memahami istilah yang spiritualiti dan mistik yang sering disalahertikan selama ini.  Hari ini apa yang ingin saya kongsikan adalah cerita kepimpinan yang mungkin selama ini kita lihat dari satu sudut yang berbentuk namun kali ini marilah kita melihatnya dari satu dimensi berbeza. 

Kepimpinan jika dilihat dari dimensi spiritualiti cukup menarik untuk dikupas tetapi dalam ruang yang terhad ini saya mungkin dapat menceritakan sedikit tentang khalifah Umar Abdul Aziz, khalifah bani ummayyah yang bertahan selama 852 hari.  Apa yang menariknya tentang khalifah ini adalah kehebatan peribadinya dalam memerintah.  Apabila saya ditanya apakah rahsia kegemilangan beliau, maka ianya adalah corak pemerintahan yang berTuhan.  Inilah yang saya panggil kepimpinan berTuhan yang mana beliau zuhud dan dapat memakmurkan negara dengan kezuhudannya. 

Persoalan yang sering timbul adalah memahami takrifan zuhud itu sendiri.  Sebelum kita pergi lebih jauh dengan apa yang diertikan dengan kepimpinan berTuhan maka lebih indah seandainya kita dapat mengupas pengertian zuhud itu sendiri.  Jika dilihat dari sudut bahasa zuhud membawa pengertian berpaling dari sesuatu kerana hinanya sesuatu tersebut dan kerana seseorang tidak memerlukannya.  Menurut Hasan Al-Basri pula “zuhud itu bukanlah mengharamkan yang halal atau mensia-siakan harta,  akan tetapi zuhud di dunia adalah kamu lebih mempercayai apa yang ada di tangan Allah daripada apa yang ada di tangan kamu. Keadaan kamu antara ketika ditimpa musibah dan tidak adalah sama sahaja, sebagaimana sama sahaja di mata kamu antara orang yang memuji kamu dengan yang mencela kamu dalam kebenaran.”

Seringkali kita mendengar bahawa zuhud ditakrifkan dengan meninggalkan hal-hal duniawi sedangkan makna lebih jelas adalah mendahulukan Allah dalam segala hal.  Kepimpinan berTuhan yang diamalkan oleh Umar Abdul Aziz adalah satu bentuk kepimpinan yang mendahulukan Allah swt dalam semua hal.  Makanya corak pemerintahannya menjadikan keadaan ketika itu bercukupan hinggakan mencari orang untuk diagihkan zakat juga agak sukar.  Kepimpinan berTuhan ini perlu dimulakan dari diri sendiri terlebih dahulu.  Kita perlu menjadi khalifah kepada diri kita sendiri.  Dalam hal ini, kita perlu tahu juga untuk membezakan kepentingan sesuatu hal, contohnya umar menggunakan dua pelita yang satunya untuk negara dan satu lagi untuk diri sendiri. 

Jika kita melihat hal ini dari sudut spiritual maka yang jelas untuk dikupas adalah cara kita meletakkan kepentingan atau keutamaan.  Seringkali kita alpa dalam aspek untuk menentukan keutamaan sesuatu perkara.  Kita perlu bijak dalam menyusun atur keutamaan dalam kehidupan kita.  Itu adalah titik awal untuk kita mentadbir diri kita.  Kita kemudiannya perlu juga tahu yang mana satu keperluan hidup dan yang mana satu kehendak.  Kedua-dua ini acapkali bertembung apabila satu-satu keputusan ingin dilakukan.  Akibatnya kehendak seringkali mendapat tempat di hati. 

Demi untuk kita tahu menilai keutamaan serta membezakan antara keperluan dan kehendak maka kita amat perlukan hakim yang bijak untuk memberitahu kita percarturan yang perlu diambil.  Hakim berkenaan adalah Allah swt yang maha kaya lagi maha bijaksana.  Maka kepadaNya kita perlu merujuk.  Jika kita hanya merujuk kepada diri sendiri maka kita masih mungkin merujuk kepada nafsu yang ingin dipuaskan kerana takut dicela masyarakat, takut dilihat miskin atau takut dilihat lemah.  Jika rujukan itu dilakukan kepada Allah swt maka kita tidak peduli apakah pandangan sekeliling kerana yang paling penting adalah pandangan Allah swt terhadap diri kita.  Jika ini boleh dilaksanakan maka kita sudah mula membawa corak umar abdul aziz dalam kehidupan kita.  Kita sudah mula memimpin diri sendiri dengan kepimpinan berTuhan dan kemudian barulah ditularkan ke seisi keluarga, masyarakat dan negara.  Insya Allah setelah ini kita akan mengupas pula bagaimana untuk kaya tetapi berTuhan.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Faham tapi tak mengerti

Hidup ini perlu saling memahami… itulah yang sering didengar, sering diucapkan namun kadangkala sukar untuk dilaksanakan. Jika kata-kata tersebut berjaya kita laksanakan maka tiadalah peperangan, tiadalah perselisihan faham, dendam dan benci. Dunia kini semakin kepanasan bukan hanya cuaca yang panas tetapi emosi penghuninya juga turut berada di darjah kepanasan yang tinggi. Kita, penghuni bumi sebenarnya faham yang kitalah yang merosakkan keamanan bumi, yang mencetuskan tingkatan kepanasan global tetapi kita tidak mengerti apakah ertinya semua itu. Justeru itu kita tidak mampu berhenti dari merosakkan bumi ini kerana kita tidak mengerti apakah yang bakal berlaku kelak biarpun kita memahaminya. Hal yang sama tanpa kita sedar berlaku dalam kehidupan kita, kehidupan kita dalam masyarakat dan kehidupan berpasangan.
Saya berpandangan hal ini terjadi kerana kita mungkin kurang mengupas tafsiran perkataan yang kita gunakan sejak sekian lama. Pada saya, pandai dan faham itu berbeza manakala faham dan erti itu juga berbeza. Maka jika dimudahkan, pandai, faham dan erti itu kelihatannya seperti sama namun tafsirannya berbeza… sama tapi tidak serupa. Justeru itu acapkali terjadi kita mengucapkan sesuatu yang kita sendiri tidak memahami apakah yang dmaksudkan olehnya. Maka ianya tidak mampu mengubah persepsi yang kita cipta atau ianya mungkin mencipta satu persepsi baru tetapi bercanggahan dengan hakikat sebenarnya. Orang yang pandai tidak semesti seseorang yang memahami. Ini kerana orang yang pandai hanya dapat mengetahui akan duduk perkara sesuatu itu seadanya. Contohnya, orang yang pandai dalam pelajaran dapat menjawab soalan yang diberi berdasarkan jawapan yang diketahuinya. Ini sedikit berbeza dengan orang yang faham kerana orang yang faham pula menjawab soalan dengan kefahaman yang dia perolehi dari setiap ilmu pengetahuan. Seorang yang pandai hanya menjawab apa yang dibacanya tetapi seorang yang faham mampu mengupas lebih dari apa yang dibacanya.
Begitu juga perbezaan antara faham dan erti yang kelihatannya sama namun banyak perbezaannya. Orang yang memahami dapat mengupas dengan baik sesuatu pengetahuan manakala orang yang mengerti pula dapat memahaminya dengan perasaan. Kita mungkin memahami mengapa kita perlu makan tetapi kita mungkin kurang mengerti rasa makanan. Orang yang mengerti pula bukan sahaja memahami perihal makanan tetapi dia dapat merasainya. Begitu juga dalam kehidupan… kita mungkin merasakan yang kita memahami seseorang itu tetapi kita kurang mengerti. Kita mungkin memahami pasangan kita tetapi kita kurang mengerti akan perasaannya. Memahami sahaja sebenarnya belum mencukupi bagi sesebuah perhubungan kerana setiap perhubungan juga memerlukan pengertian. Setiap hubungan memerlukan kesefahaman yakni peraturan duniawinya tetapi jika hanya itu yang kita ada maka hubungan itu akan sedikit pincang. Kepincangan ini wujud kerana kurangnya pengertian. Pengertian adalah sesuatu yang melibatkan perasaan. Maka bukanlah satu pengertian jika ianya tidak melibatkan perasaan atau rasa. Kita mungkin faham akan kesakitan seseorang tetapi kita akan lebih bagus dalam memahaminya seandainya kita mengerti dan pengertian hanya akan berlaku apabila kita sudah pun melaluinya dan sudah merasainya.

Kesalahfahaman dalam perhubungan akan berlaku apabila kita merasakan yang kita sudah memahami walaupun hakikatnya belum sepenuhnya. Ianya akan membawa kepada salah sangka dan lebih buruk lagi kepada fitnah yang mana menyebabkan kekeruhan yang berlaku menjadi lebih buruk lagi. Pemahaman yang kita ada sebenarnya hanyalah satu persepsi yang kita buat melalui satu andaian yang terhasil dari sebuah peta realiti. Kita perlu tahu bahawa peta reality yang kita lihat itu masih bukan reality yang sebenar. Kita melihat peta realiti tanpa mengalaminya dan andaian yang kita perolehi adakalanya begitu jauh berbeza dengan realiti sebenarnya. Inilah juga yang sering berlaku dalam banyak hubungan. Kita seringkali bergantung dengan peta realiti dan kita salurkan ke dalam minda melalui pancaindera yang lima tanpa mahu mengerti akan realiti sebenar. Hasil yang buruk yang bakal berlaku adalah andaian yang salah dan andaian yang salah bakal menghasilkan tuduhan demi tuduhan dan ini lambat laun menjadikan hubungan tersebut sebagai satu hubungan yang membosankan.

Mulai hari ini marilah kita sama-sama menilai kefahaman kita dalam mengolah pengertian yang kita rasakan benar. Kita perlu melihat kembali adakah kita benar-benar memahami dan mengerti tentang pasangan kita atau kita sebenarnya hanya memahami namun tidak mengerti. Seandainya itu yang berlaku, semak kembali hubungan yang sedia ada, adakah ianya sudah memberi tekanan kepada pasangan anda atau anda sendiri yang sudah terbeban dengan pelbagai andaian dan prasangka. Justeru untuk mengeluarkan diri dari belenggu andaian dan prasangka ini adalah dengan meletakkan hubungan itu atas rasa cinta Allah swt maka insya Allah kita akan lebih aman dan menerima segalanya dengan hati yang terbuka tanpa sangka buruk dan prejudis. Wallahu a’lam.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Dakwah Menghukum

Saya amat percaya bahawa biar apapun latar belakang kita, biar dari mana pun kita datang, biar apa pun bangsa kita, masa depan kita adalah tanggungjawab kita. Kita sering mendengar rungutan tentang latar belakang keluarga yang kurang baik yang membuatkan seseorang itu merasa tempiasnya namun sebagai orang yang matang, walaupun datang dari latar belakang yang kurang baik, seharusnya ianya akan menjadi pengalaman baik untuk mengubahkan keadaan diri agar tidak lagi duduk dalam keadaan yang sama. Memang tidak dinafikan bahawa keluarga bertanggungjawab memainkan peranan dalam kehidupan namun sebagai empunya diri, kita lebih bertanggungjawab dalam menjadikan siapa diri kita pada masa akan datang.

Saya menonton satu rancangan realiti televisyen barat di mana salah seorang pesertanya menangis memberitahu penonton yang dia menyertai pertandingan realiti tersebut demi untuk mengubah dirinya kerana tidak mahu duduk dalam keadaan keluarganya yang mengambil dadah. Begitulah tanggungjawab yang diperlukan pada setiap insan dalam menakhoda kehidupannya. Saya yakin sebenarnya ramai di kalangan masyarakt kita yang faham tentang tanggungjawab ini dan mahu berubah namun mengapa sukar sekali untuk berubah. Saya melihat faktor dakwah yang difahami oleh kita di malaysia ini. Saya melihat dakwah dari satu sudut berlainan yang mungkin boleh kita sama-sama renungkan.

Sewaktu saya kecil dahulu, saya agak keliru tentang maksud dakwah kerana seseorang yang bertudung akan dipanggil orang dakwah dan lebih mengelirukan apabila mereka juga dipanggil orang pakai dakwah. Justeru pada waktu itu saya berfikir bahawa dakwah adalah nama lain bagi tudung. Tetapi apabila meningkat dewasa saya, saya mula memahami dakwah rupanya membawa seruan perubahan dari satu titik ketidakfahaman kepada satu titik jelas, dari satu kegelapan ke satu pencerahan dan lebih membuatkan saya faham apabila ianya didefinisikan sebagai satu program lengkap, yang pada setiap peringkat mengandungi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup dan bagi menyingkap petunjuk jalan yang menjadi petunjuk kepada manusia.

Maka saya berpandangan bahawa setiap dari kita adalah pendakwah dan apabila disebut bahawa setiap dari kita adalah pendakwah kita mula memikirkan kepada siapa harus kita berdakwah. Bagi mereka yang sudah sedia bergelar pendakwah pula akan tahu bahawa sememangnya tugas mereka untuk berdakwah dan mereka sudah ada kumpulan sasar. Maka pada pandangan saya di sinilah mulanya berlaku kesilapan pandangan. Saya berpendapat yang dakwah atau program pencerahan itu perlu dimulakan untuk diri sendiri. Kita kadangkala lupa untuk melakukan dakwah pada diri kita sendiri. Kita kadangkala lupa untuk menyeru diri kita ke arah kebaikan kerana kita kadangkala lebih sibuk untuk menyeru orang lain ke arah kebaikan hingga terlepas pandang akan diri yang ditumbuhi ego yang banyak.

Hari ini kita sering menzalimi diri kita sendiri. Kitalah sebenarnya yang membentuk diri kita hari ini hasil sistem dakwah songsang yang kita lakukan. Apakah yang saya maksudkan dengan dakwah songsang. Pertamanya saya yakin bahawa konsep dakwah perlulah dimulakan dari diri sendiri. Jika kita tidak mampu berdakwah atau menyeru Islam kepada diri kita sendiri maka kita gagal jugalah nanti untuk menyerunya kepada masyarakat. Dakwah adalah kerja yang melibatkan kasih sayang. Justeru, diri kita sendiri adalah lapangan latihan terbaik untuk kita mulakan latihan dakwah.

Jika kita lihat hari ini, ramai orang menyeru ke arah kebaikan dengan hukum. Mereka lebih gemar menghukum sesuatu perkara itu dari membawanya ke arah pencerahan dengan kasih sayang. Kita mungkin lupa bahawa baginda saw itu berdakwah dengan kasih sayang. Jika ada yang mengatakan bahawa baginda saw berdakwah dengan mata pedang, saya rasa cukup jelas yang mereka ini kurang menganalisi hakikat sejarah. Dengan kasih sayanglah baginda mulakan dakwah Islamiyyah ini. Mengapa saya katakan yang kita berdakwah songsang tadi adalah kerana kita sering menceritakan keburukan dan hukuman lebih dari kebaikan dan ganjaran.

Kita sering berdakwah kepada diri kita sendiri dengan melontarkan pandangan negatif terhadap Allah swt tanpa sedar. Dari mana datangnya pengalaman sebegini, dari ibu dan bapa. Seandainya hari ini kita juga adalah ibu dan bapa maka renungkanlah perkara ini. Cuba kita lihat berapa ramai anak-anak kita yang apabila dewasa, mereka tidak hidup dengan cara yang betul atau mencari jalan untuk ketenangan diri dengan cara yang salah. Jika soalan ini dilontarkan kepada majoriti rakyat kita, jawapannya adalah pergaulan. Namun saya berpandangan bahawa ianya adalah kesalahan teknik dakwah yang dibawa oleh para ibubapa.

Pernah saya katakan bahawa, dalam dunia ini ada dua tenaga yang cukup kuat untuk mengubah seseorang itu, takut dan cinta. Cinta adalah tenaga yang perlu dibentuk secara perlahan dan jika terbentuk ketahanannya cukup lama, manakala takut adalah tenaga yang dibentuk dengan kadar segera namun ianya amat rapuh. Majoriti kita suka menggunakan tenaga takut dalam berdakwah, tak kira berdakwah kepada diri sendiri, keluarga mahupun masyarakat kerana hasilnya agak pantas. Tetapi kita lupa bahawa ianya amat rapuh, setelah hilang ketakutan timbullah kebinasaan.

Sejak dari kecil kita ditakutkan dengan hukuman. Mungkin kita pernah mendengar orang tua kita berkata “jangan menipu, nanti Allah potong lidah”… atau “jangan mencuri nanti Allah potong tangan”. Anak-anak akan mengelak dari melakukan kesalahan kerana takut nanti lidah dipotong atau takut mencuri kerana hilang pula nanti tangan. Bagi saya ini adalah satu fitnah besar. Setiap hari kita membaca dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Pengasih, tidak pula kita baca dengan nama Allah yang maha menghukum. Ini kerana sifat Allah yang Maha Pengasih dan perlu kita ingat bahawa rahmatNya sentiasa mendahului murkaNya.

Namun mengapa pula kita sering menyampaikan kemurkaannya lebih dahulu dari sifatnya yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Apabila anak itu dewasa dia mula melakukan apa yang dipanggil self sabotage kerana dia melihat lebih banyak keburukan dari kebaikan. Perlu kita ingat tujuh tahun pertama pembesaran adalah masa paling baik untuk memberi saranan atau pembentukan jiwa yang baik. Jika dalam masa tersebut semua momokan negatif yang dimasukkan dalam minda maka ianya akan membawa kehidupan anak itu dalam negatif yang tidak nampak.

Maksud negatif yang tidak nampak adalah, mereka merasakan mereka positif tetapi jauh di dalam diri, banyak sifat negatif yang terpatri. Jika dewasa kelak mereka menjadi pendakwah kepada masyarakat, tanpa mereka sedar mereka akan menggunakan kaedah yang sama sebagaimana kaedah takut melebih kasih sayang yang diterapkan kepada mereka sedari kecil. Mereka mungkin lebih suka bercerita tentang hukum dari kasih sayang. Jika bertemu orang yang tidak melakukan solat contohnya, mereka lebih mudah menceritakan dosa dari menceritakan kerugian kasih sayang.

Allah yang dilimpahkan dalam solat, mereka mungkin lebih mudah menceritakan amaran dari menceritakan keindahan solat. Maka tidak hairanlah hari ini masyarakat kita semakin lemah kerana teknik penyampaian ilmu sudah songsang. teknik yang seharusnya dimulakan dengan kasih sayang telah dimulakan dengan hukuman. Akibat banyak sekali terapan hukuman dari kasih sayang, hilanglah seri timbullah benci. Marilah kita sama-sama menghayati teknik dakwah junjungan besar baginda saw dalam berdakwah, dalam menyampaikan kebaikan samada dengan perbuatan mahupun lisan.

Bagi saya, setiap apa yang dilakukan baginda saw perlu kita tekuni kerana baginda saw menunjukkan applikasi pengetahuan al-quran untuk kita gunapakai dalam hidup. Mulakan hari kita dengan menyeru ke arah kabaikan kepada diri kita dengan kata-kata kasih sayang dan positif dan insya Allah rendahlah ego kita nanti. Dengan kerendahan ego, dakwah kepada masyarakat akan mudah terlaksana dan kebenaran islam jelas terpancar. Kurangkan hukum, banyakkan kasih sayang kerana teknik kasih sayanglah islam kekal hingga ke hari ini.

Posted in Uncategorized | Leave a comment